top of page
Search

20,000 terima manfaat Kad Sejahtera Terengganu

Updated: Aug 9, 2019


KUALA TERENGGANU: Terengganu memperkenalkan Kad Sejahtera, inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri untuk membantu golongan kurang berkemampuan mendapat rawatan di klinik swasta terpilih.


Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata seramai 20,000 golongan sasar itu bakal menerima bantuan perubatan bernilai RM500 setahun menerusi Kad Sejahtera membabitkan peruntukan RM10.9 juta setahun.



Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A Rahman Yahya (kiri) menyampaikan replika Kad Sejahtera kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri merangkap Adun Bukit Tunggal, Dr Alias Razak (kanan) pada majlis pelancaran di Wisma Darul Iman. - NSTP/Ghazali Kori

Beliau berkata, golongan berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar dengan setiap keluarga antara golongan sasar yang layak menerima bantuan itu dengan syarat penerima adalah rakyat Terengganu atau sudah bermastautin lebih 10 tahun di negeri ini.

Katanya, penerima yang layak dikenal pasti menerusi senarai eKasih dan kad berkenaan akan diagihkan kepada mereka melalui pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.


“Setakat ini ada seramai 8,000 ketua keluarga yang berdaftar dengan eKasih dan kita masih membuka permohonan kepada mereka yang menepati syarat ditetapkan.

“Kad ini perlu dibawa setiap kali mahu mendapatkan rawatan di klinik swasta terpilih dengan penggunaan maksimum RM70 setiap kali mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, penggunaan kad ini bukan untuk penyakit kronik, tetapi hanya untuk rawatan pesakit luar seperti demam dan batuk,” katanya selepas melancarkan Kad Sejahtera di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.


Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.

Ahmad Samsuri berkata, ketika ini kerajaan negeri dalam proses mengenal pasti 10 klinik swasta terpilih di setiap daerah untuk menyediakan perkhidmatan rawatan kepada pemegang kad berkenaan.


Dalam perkembangan lain Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri sudah menambah baik beberapa kelemahan dalam aspek keselamatan dan kelancaran trafik di Jambatan Angkat dan ia bersedia untuk dibuka semula kepada awam pada 1 Ogos ini.

“Setakat ini, tiada masalah dan semuanya berjalan lancar. Mengenai nama dan perasmian jambatan pula, ia masih belum ditetapkan lagi,” katanya.


Sumber : Berita Harian

537 views
bottom of page