top of page
Search

Kad Sejahtera dilaksanakan Ogos ini

Updated: Aug 9, 2019

KUALA TERENGGANU 16 Julai - Program Kad Sejahtera kepada rakyat berpendapatan rendah dan miskin tegar di negeri ini yang terkandung dalam manifesto Pas negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan dilaksanakan bermula pada bulan depan.



DR. Ahmad Samsuri Mokhtar (dua dari kiri) menyerahkan replika kad sejahtera kepada seorang penerima dalam majlis pelancaran kad itu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini. - UTUSAN ONLINE

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, seramai 20,000 orang disasarkan menerima manfaat bantuan subsidi rawatan kesihatan asas itu pada tahun ini yang membabitkan peruntukan keseluruhan kira-kira RM10.9 juta.


Katanya, program yang dirintis bagi memastikan rakyat hidup sihat dan sejahtera itu merupakan penyelesaian jangka masa pendek kerajaan negeri dalam memberi kemudahan kepada golongan sasar untuk mendapatkan rawatan kesihatan seoptimum mungkin sekali gus memperkasakan dan membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan.


“Para pemegang Kad Sejahtera layak untuk mendapatkan rawatan kesihatan berjumlah RM500 setahun di klinik swasta terpilih yang dilantik oleh kerajaan negeri.

“Buat masa ini kita masih dalam proses pendaftaran klinik sebelum program dilaksanakan pada Ogos nanti dan untuk peringkat awal dijangka akan terdapat 10 klinik di setiap daerah,” katanya selepas melancarkan Kad Sejahtera di Foyer U2, Wisma Darul Iman selepas Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-14 di sini hari ini.


Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A. Rahman Yahya dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak.


Menurut Ahmad Samsuri, penerima bantuan itu boleh mendapatkan rawatan di klinik swasta terpilih dengan kos maksimum RM70 bagi setiap rawatan penyakit ringan seperti demam atau batuk.


Katanya, Kad Sejahtera disasarkan kepada kelompok miskin tegar mengikut senarai e-Kasih di samping mereka yang telah bermastatutin selama lebih 10 tahun di Terengganu dengan pendapatan keluarga kira-kira RM1,750.

“Permohonan daripada e-kasih ketika ini adalah seramai 8,000 orang dan pendaftaran bagi mereka yang dalam senarai e-Kasih masih lagi dibuka dan berterusan,” katanya. - UTUSAN ONLINE

727 views
bottom of page